Rekreasi Dan Pelancongan
Pusat Penyelidikan FRIM Pasoh
Pada bulan Disember 1977, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia telah mengambil alih pengurusan hutan Pasoh daripada Universiti Malaya. Ia dicapai melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan. Hutan Pasoh telah menjadi stesen penyelidikan hutan tropika yang terkemuka. Hal ini tidak akan tercapai tanpa komitmen daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang telah mengazetkan 1840 ha kawasan Hutan Simpan Pasoh sebagai hutan penyelidikan. Semua aktiviti penyelidikan dipantau oleh Jawatankuasa Penyelidikan Pasoh (PRC) di FRIM sejak tahun 1999. Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan juga merupakan ahli jawatankuasa tersebut.
Tarikan utama Hutan Simpan Pasoh adalah kepelbagaian floranya. Sebanyak 335,256 batang pokok berdiameter 1 sm dbh (diameter at breast height) dan ke atas, tergolong dalam 814 spesies, 294 genera dan 78 famili telah direkodkan didalam kawasan berkeluasan 50 ha. Famili tumbuhan yang paling sering dijumpai adalah Euphorbiaceae dan Annonaceae bagi pokok kecil, dan Dipterocarpaceae, Leguminosae dan Burseraceae. Spesies paling melimpah adalah Xerospermum noronhianum (Sapindaceae) yang juga dikenali sebagai ‘rambutan pacat’, mendominasi 2.5% daripada jumlah keseluruhan pokok. Bagi pokok 30sm dbh keatas, spesies paling melimpah adalah Shorea leprosula (meranti tembaga), daripada kaum Diptrerocarpaceae.
Menara Aloi Kembar tiga
Sebuah menara aloi kembar tiga – sistem titian silara telah dibina pada April 1992 hasil projek kerjasama diantara FRIM dan National Institute on Environmental Studies (NIES) of Japan. Sistem ini meliputi tiga menara tegak sendiri (freestanding towers) berketinggian 30m setiap satu dengan tangga individu disetiap seksyen. Ia diperbuat daripada kabel keluli dan saling berkait dengan laluan kanopi yang membentuk sebuah segitiga. Berwarna metalik, setiap menara berfungsi sebagai konduktor kilat yang berkesan.
Walaupun ianya digunakan secara meluas di Amerika Syarikat, tetapi ia merupakan satu-satunya yang terdapat di Malaysia. Sistem yang mengambil masa 10 hari untuk dipasang ini adalah sangat kompak dan mudah alih. Menara ini menyediakan kemudahan untuk kajian mikro iklim dan fisiologi seperti pemerhatian fenologi dan kajian fauna di pelbagai peringkat kanopi.
Salah sebuat menara telah dipanjangkan mencecah ketinggian 52m, lebih tinggi dari ketinggian kanopi pokok. Menara ini hanya dibenarkan digunapakai oleh para penyelidik kerana ia menempatkan pelbagai peralatan mikrometeorologi yang sensitif.